Peruntukan undang-undang Kerajaan tempatan di Malaysia

Perlembagaan

Perlembagaan Persekutuan Malaysia meletakkan kuasa eksklusif mentadbir kerajaan tempatan kepada kerajaan negeri.[3] Bagi kerajaan tempatan di Wilayah Persekutuan pula, hak eksklusif ini diberikan kepada kerajaan persekutuan. Namun begitu, pindaan perlembagaan pada tahun 1960 telah memperuntukkan penubuhan sebuah jawatankuasa perunding yang diberi nama Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.[6] Keahlian di dalam majlis ini terdiri daripada seorang menteri persekutuan selaku pengerusi, wakil kerajaan negeri dan juga wakil-wakil kerajaan Persekutuan. Walaupun berpenanan sebagai majlis perunding dalam menentukan undang-undang yang mentadbir kerajaan tempatan, pindaan 1960 itu juga memberikan kuasa pemutus kepada pengerusi sekaligus memberi kerajaan persekutuan pengaruh yang besar terhadap kerajaan tempatan.

Akta Parlimen

Selain peruntukan perlembagaan, beberapa akta parlimen telah digubal bagi mengawal operasi kerajaan tempatan di Malaysia. Akta yang paling berpengaruh ialah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Akta ini menggariskan bentuk, struktur organisasi, tugas dan tanggungjawab kerajaan tempatan secara menyeluruh. Pada masa yang sama, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) juga digubal bagi mengatasi kelemahan perancangan guna tanah di kawasan tempatan. Akta 172 ini meletakkan tanggungjawab utama sebagai perancang fizikal di peringkat tempatan kepada kerajaan tempatan.[7] Selain itu, Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 (Akta 133) pula menjelaskan beberapa peranan kerajaan tempatan berkaitan perparitan, penyenggaraan jalan bandaran dan juga bangunan-bangunan awam. Di samping tiga akta yang dinyatakan ini, beberapa undang-undang lain termasuk undang-undang kecil telah digubal dan dikuatkuasa bagi membantu melicinkan perjalanan kerajaan tempatan.

Sabah dan Sarawak

Perkara 95D, Perlembagaan Persekutuan walaubagaimanapun mengecualikan Sabah dan Sarawak daripada Perkara 95A.[8] Hasilnya, kerajaan tempatan di dua buah negeri ini ditadbir secara langsung oleh kerajaan negeri masing-masing. Namun begitu, kedua-dua kerajaan negeri masih menghantar wakil mereka menghadiri mesyuarat rundingan majlis berkenaan sebagai pemerhati tanpa hak mengundi.

Di Sabah, kerajaan tempatan dibentuk melalui peruntukan di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1961. Ordinan ini turut menggariskan tanggungjawab dan fungsi penguasa tempatan di Sabah. Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, yang pertama kali dibentuk selepas pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) 1963, mentadbir perjalanan penguasa tempatan di negeri ini.

Di Sarawak, penguasa tempatan ditubuhkan di bawah Ordinan Penguasa Tempatan 1996. Ordinan ini adalah mewarisi sebahagian perundangan yang sebelum ini digubal di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1948. Di samping itu, undang-undang lain yang mengawal tugas penguasa tempatan ialah Ordinan Bangunan 1994, Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999 dan juga undang-undang kecil di bawahnya. Sementara itu, penguasa tempatan di bahagian Kuching pula ditubuhkan melalui Ordinan Perbandaran Kuching 1988 dan juga Ordinan Bandar raya Kuching Utara 1988. Di bawah ordinan ini, tiga penguasa tempatan dibentuk iaitu, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan juga Majlis Perbandaran Padawan. MBKS dan Majlis Perbandaran Padawan kemudiannya diletakkan dibawah peruntukan Ordinan Penguasa Tempatan 1996. Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam diberi tanggungjawab menyelia perjalanan penguasa tempatan di negeri ini.[9]